by Nur Amira Binte Hashim
Rumahnya sudah dipenuhi ramai orang. Dari kamar, keluar seorang lelaki lengkap berbaju kurung dengan samping. Dia bersalaman dengan nenek, datuk, dan sepupunya yang lain. “Lama nenek tak nampak Rais. Macam mana sekarang?” Rais agak terpinga-pinga cuba menangkap maksud neneknya seakan-akan dia sedang berbual dalam bahasa asing. Rais berfikir sejenak lalu menjawab, “Saya baik sa..ja, Nek. Selamat Hari Raya. Jem..put makan se..se mua.. Mum cooked all this”, kata Rais tergagap-gagap. Sepatah-sepatah dia mengeluarkan perkataan seperti ada sesuatu yang tersekat di kerongkong. Rais rasa terseksa menghabiskan satu ayat penuh berbahasa Melayu lalu dia bertukar ke bahasa Inggeris. Saudara-mara Rais hanya tergelak melihat telatahnya. Di dalam hati mereka, terdetik rasa lucu berbaur kesal melihat Rais mengeluarkan perkataan tergagap-gagap seperti orang baru belajar bercakap.
Tatkala Rais kecil, ketidakselesaan ini tidaklah timbul malah dia petah dan lancar berbual bahasa itu. Walaubagaimanapun, sejak dihantar ke sekolah, bahasa Melayunya semakin lama menjadi semakin asing di telinganya. Ini adalah kerana lelaki yang berkulit sawo matang dan bermata galak itu telah mempelajari bahasa Mandarin di sekolah.
Rais Islam Quak, 18 tahun, merupakan anak berketurunan Cina dan Melayu dan Bahasa Mandarin telah dipilih oleh ibu bapanya sebagai bahasa ibundanya di sekolah.Keputusan ini dibuat atas dasar praktikal iaitu setelah mengambil kira bahawa bahasa Mandarin lebih bermanfaat memandangkan ekonomi Cina yang sedang berkembang pesat. Justeru, semenjak menuntut di sekolah rendah, penguasaan bahasa Melayunya semakin lemah. Kata Rais, “When I actually speak Mandarin, people would give me the usual sceptical look as I have the appearance of a Malay, with the usual big double eyelid eyes and sun-baked skin.”Rais menjelaskan bahawa penampilannya yang kelihatan seperti seseorang yang berbangsa Melayu membuat ramai yang terpinga tatkala dia berbahasa Mandarin. Memang betul katanya, sekali pandang, seseorang tidak akan menjangkakan bahawa jejaka ini mempunyai darah Cina kerana rupanya saling tidak tumpah seperti lelaki melayu asli.
“To me, Mandarin is more important than Malay Language in Singapore context,” tambah Rais, murid maktab rendah Meridian itu. Sebagai anak yang lahir daripada perkahwinan campur Melayu-Cina, Rais merasakan bahawa dia sepatutnya diberi peluang pendedahan kepada Bahasa Mandarin dan juga Bahasa Melayu. Sungguhpun begitu, ayahnya yang berbangsa Cina telah memutuskan bahawa fokus yang lebih patut diberikan kepada bahasa Mandarin memandangkan di konteks Singapura, bahasa Mandarin lebih berguna dan lebih tinggi nilai komersilnya.
Evolusi bahasa Melayu dan Mandarin
Status bahasa Mandarin dan Bahasa Melayu di Singapura telah melalui evolusi yang agak ketara. Menurut Dr Lily Zubaidah Rahim, penulis buku Dilema Singapura: peminggiran politik dan pelajaran masyarakat Melayu, sebelum kemerdekaan dan pada tahun-tahun awal pasca kemerdekaan, Bahasa Melayu mampu ditutur oleh kebanyakan warga Singapura. Malah, Bahasa Melayu merupakan bahasa perantaraan yang menghubungkan penduduk Singapura daripada etnik yang rencam. Tahun-tahun seterusnya menyaksikan pelbagai pelaksanaan polisi dan kempen bahasa. Antaranya ialah polisi dwibahasa di mana seseorang murid dikehendaki mempelajari bahasa Inggeris dan bahasa Ibunda.
Perlahan-lahan, Bahasa Melayu turun nilainya dan statusnya sebagai bahasa kebangsaan hanyalah sekadar lambang belaka dan digunakan secara terhad seperti perintah perbarisan dan juga dalam lagu kebangsaan.Kepentingan bahasa Mandarin yang semakin menonjol di Singapura memberikan manfaat sosial dan ekonomi kepada mereka yang fasih dalam bahasa ini, tetapi tidak begitu halnya bagi bahasa Melayu atau Tamil. Justeru, tidak hairanlah mengapa Rais merasakan bahawa Bahasa Mandarin lebih tinggi nilainya daripada Bahasa Melayu. Pendapatnya ini besar kemungkinan dikongsi oleh kebanyakan penduduk lain di Singapura.
Malah, kajian telah menunjukkan bahawa ada di antara mereka yang lahir dari pasangan Melayu kedua-duanya juga mengambil bahasa Mandarin sebagai bahasa Ibunda. Tambah Lily Zubaidah,”data bagi pelajar bukan Cina yang mempelajari bahasa Mandarin dan bukannya bahasa ibunda mereka dianggap sensitif dari segi politik dan Kementerian Pelajaran tidak mendedahkannya kepada orang awam, maka adalah sukar untuk mengagak sejauh mana berleluasanya fenomena tersebut.” Kengganan Kementerian Pelajaran untuk tidak mendedahkan data ini menimbulkan sebuah tanda tanya yang besar. Jikalau fenomena ini tidak berleluasa, ia semestinya tidak akan menjadi sebuah perkara yang sensitif.
Selain nilai ekonomi dan sosial, bahasa ini juga sering digalakkan oleh para pemerintah yang mempergiat usaha mengembangkan bahasa Mandarin melalui program seperti Kempen Bercakap Mandarin. Permulaan kempen bercakap bahasa Mandarin dan pengenalan SAP(Special Assistance Plan) pada tahun 1979 merupakan perubahan besar dalam penggubalan dasar bahasa dan budaya di Singapura.
Pemilihan bahasa Mandarin sebagai bahasa yang melambangkan identiti Cina secara tidak langsung telah menyebabkan dialek-dialek semakin luput. Menurut L.Quentin Dixon, saat kemerdekaan, hampir tiada etnik Cina di Singapura yang bertutur bahasa Mandarin sebagai bahasa utama di rumah mereka. Begitu juga dengan pemilihan bahasa Melayu dan Tamil sebagai melambangkan identiti Melayu dan India yang akhirnya menyebabkan semakin lenyapnya dialek-dialek lain.
Usaha untuk meningkatkan penggunaan bahasa Melayu juga dipergiat dan salah satunya ialah melalui kempen Bulan Bahasa. Pada 1982, Majlis Pusat, sebuah badan kebudayaan di bawah naungan Kementerian Kebudayaan Singapura telah menganjurkan Bulan Bahasa Melayu. Namun, pada tahun-tahun selepas itu, Bulan Bahasa Melayu tidak kedengaran lagi. Pada tahun 1988, aktiviti Bulan Bahasa dihidupkan semula oleh MBMS (ketika itu Jawatankuasa Bahasa Melayu Singapura) dan badan-badan setempat sehingga kini.
Faktor-faktor lain yang menyumbang kepada pemilihan sesebuah bahasa.
Selain faktor ekonomi dan sosial, pemilihan bahasa dalam perkahwinan campur juga bergantung kepada faktor-faktor lain. Contohnya, bagi Karmen Tan pemilihan bahasa dibuat mengikut bahasa yang digunakan ayahnya kerana ayahnya merupakan ahli yang dominan di dalam keluarga itu. Dibesarkan di sebuah perkampungan di Indonesia di Kalimantan, Karmen dan keluarganya berpindah di Singapura sewaktu dia berusia satu tahun. Seperti Rais, Karmen juga mempunyai wajah seperti seseorang yang berbangsa Melayu tetapi dia tidak bertutur dalam bahasa itu. Malah bahasa Mandarinnya sangat lancar dan dia mempelajari bahasa Mandarin lanjutan di sekolah. “My mum speaks Malay to me and she also speak Malay to my dad!”, kata perempuan berusia tiga belas tahun, pelajar Sekolah Menengah Punggol itu. Meskipun ibu-bapanya bertutur bahasa Melayu sesama sendiri, Karmen tetap mengambil bahasa Mandarin kerana ia merupakan “tradisi” keluarganya untuk mewarisi budaya ayah yang merupakan ahli yang dominan di dalam keluarga itu.
Bahasa Melayu- bahasa yang mudah.
Selain itu, pemilihan bahasa ini juga dibuat kerana dia berpendapat bahawa ia lebih sukar dan harus dipelajari dari awal. Kata Karmen, “they(my parents) decided that I learn Mandarin since it is harder and more difficult to learn when you are older. I can pick up Malay by listening to my parents conversing to each other” Hal ini sering sekali kita dengar. Bahasa Melayu merupakan bahasa yang mudah dan atas sebab itu, ia menjadi salah satu sebab mengapa bahasa ini dipilih oleh mereka yang berketurunan campur. Bagi yang tidak memilihnya seperti ibu bapa Karmen, mereka merasakan bahawa bahasa ini boleh dipelajari hanya melalui mendengar perbualan keluarga mereka di rumah. Sebab-sebab begini juga sentiasa didengar oleh Dr Aishah Kassim yang mengajar bahasa Melayu sebagai bahasa ketiga di Universiti Kebangsaan Singapura (NUS). Program bahasa Melayu di NUS ditawarkan kepada mereka yang bukan pelajar Melayu dan program ini mempunyai kemasukan ramai pelajar termasuk dari luar negeri.
Namun, Dr Aishah mengatakan bahawa terdapat juga mereka yang datang daripada keluarga Melayu tetapi ingin mempelajari bahasa Melayu sebagai bahasa ketiga kerana mereka telah mempelajari bahasa Mandarin sejak mereka kecil lagi. Namun, bilangan pelajar-pelajar ini hanyalah segelintir. Kata Dr Aishah, “Mereka fikirkan yang ibu bapa mereka boleh berbahasa Melayu dan bahasa itu mudah untuk dipelajari. Mereka berada di lingkaran orang Melayu dan senang untuk mereka belajar bahasa itu.” Di sini, jelas dilihat bahawa kenyataan mereka menunjukkan bahasa Melayu dapat dipelajari hanya melalui percampuran dengan orang Melayu dan memadai untuk mempelajar bahasa ini sekadar di peringkat kolokial.
Dengan itu, tidak hairanlah mengapa ibu bapa Karmen memilihkannya bahasa Mandarin sebagai bahasa ibunda. Karmen mampu untuk mempelajari bahasa Melayu daripada mendengar pertuturan ayah dan ibunya. Sungguhpun begitu, Karmen tidak bertutur dalam bahasa Melayu. Walaupun ibunya bertutur dalam bahasa Melayu dengannya, dia membalas dalam bahasa Inggeris. Ditanya mengapa Karmen tidak mahu berbual dalam bahasa itu, Karmen menjawab, “I sound weird when I speak in Malay so I don’t use that language.” Oleh sebab itu, dia lebih selesa berbahasa Inggeris atau Mandarin. Mentelah lagi, bahasa Inggeris lebih lazim digunakan oleh kawan-kawannya dalam perbualan seharian. Seperti juga Rais, Karmen mengatakan bahawa dia menggunakan bahasa Melayu sewaktu dia kecil tetapi sejak dia pergi ke sekolah, bahasa itu semakin tidak digunakan.
Bahasa untuk peluang pekerjaan
Pengalaman mengajar bahasa Melayu di NUS menyedarkan Dr Aishah bahawa pemilihan bahasa jarang dibuat untuk mempertahankan budaya tetapi untuk memberi peluang pekerjaan untuk masa depan anak mereka.Terdapat sekelompok murid-murid yang mempelajari bahasa Melayu atas sebab-sebab pekerjaan seperti pelajar social work atau mereka yang daripada bidang perubatan. Ada pelajar yang buat kajian tentang sejarah nusantara dan ingin bertutur dan menemuramah dengan orang-orang di rantau ini. Justeru, mereka mempelajari bahasa Melayu.
Atas sebab itu, dia merasakan salah satu cara untuk menggalakkan penggunaan bahasa Melayu ialah dengan menekankan bidang-bidang di mana bahasa ini penting digunakan.
Petuturan bersama saudara-mara
Seseorang pasti akan bertanda tanya bagaimana mereka yang lahir daripada perkahwinan campur ini bertutur bersama ahli keluarga mereka terutama sekali mereka yang sudah berumur memandangkan penduduk Singapura pada generasi dahulu rata-ratanya menuntut di sekolah vernakular dan mungkin tidak boleh bertutur bahasa Inggeris.
Bagi Rais, dia menggunakan bahasa Mandarin tatkala bertutur bersama saudara-maranya yang berbangsa Cina di mana bahasa Mandarin merupakan bahasa dominan dalam perbualan mereka. Mujur, saudara-maranya yang berbangsa Melayu memahami bahasa Inggeris. Jikalau tidak, bahasa akan menjadi benteng perhubungan mereka. Untuk Karmen pula, bersama saudara-maranya yang berbangsa Cina, dia bertutur bahasa Mandarin. Dengan saudara-maranya yang berbangsa Melayu pula, ada di antara mereka yang boleh berbahasa Inggeris dan ini memudahkan komunikasi di antara mereka. Walaubagaimanapun, dengan mereka yang tidak memahami bahasa Inggeris, Karmen tidak banyak berbual dengan mereka. Begitu juga dengan nenek dan datuknya yang berbangsa Melayu dan tidak tahu berbahasa Inggeris.Walaupun Karmen tidak banyak berbual dengan sepupu-sepupu sebelah ayahnya, dia merasakan bahawa hubungan mereka tetap rapat. Jika sesetengah orang berpendapat bahawa komunikasi penting dalam perhubungan, Karmen pula menunjukkan bahawa hubungan yang erat dan baik dapat terjalin walaupun dengan komunikasi yang terhad.
Bahasa identiti bangsa?
Walaupun Karmen mempunyai darah Melayu, dia langsung tidak terpengaruh dengan budaya Melayu. Selain tidak bertutur bahasa Melayu, dia juga tidak menyambut perayaan orang Melayu atau Islam kerana dia seorang pemikir bebas. Ibunya beragama Kristian dan ayahnya seorang Buddhist. Bagi Rais pula, walaupun dia lebih mengidentifikasi dirinya dengan masyarakat Cina, dia tidak melupakan identitinya yang juga berdarah Melayu. Seperti orang Melayu biasa, dia juga menyambut perayaan Melayu dan Islam, memakai baju Melayu pada hari tertentu dan memakan makanan Melayu. Menurut Dr Aishah, “”Identiti itu berkaitan rapat dengan pertuturan bahasa kerana bahasa boleh menyampaikan nilai-nilai tertentu. ” Justeru, dengan tidak mempelajari bahasa Melayu, adakah ia meluputkan identiti seseorang sebagai orang Melayu?
Menjawab soalan itu Rais mengatakan, “As a whole, learning Mandarin doesn’t dilute my identity as a Malay because I get to experience both cultures with their festivities and celebrations which does not require you to speak a certain language but based more on the opportunities open to you.” Rais merasakan bahawa identitinya itu unik dan ketidakupayaannya berbahasa Melayu langsung tidak meluputkan identitinya sebagai seseorang yang juga berketurunan Melayu. Dia teruja kerana dapat merasakan budaya bangsa Melayu dan Cina. Walaupun kita sering mendengar pepatah bahasa identiti bangsa, Rais menunjukkan bahawa seseorang itu masih boleh mempertahankan identiti sebuah bangsa tanpa perlu berbual dalam bahasa itu. Namun, hal ini pula berbeza bagi Lim Muhammad Syafiq, 23 tahun di mana pemilihan bahasa ibu-bapanya telah banyak membentuk identitnya.
Kata pelajar NUS jurusan undang-undang itu, “Memandangkan saya telah mempelajari bahasa Melayu di sekolah, saya lebih bergaul dengan orang-orang Melayu dan disebabkan itu, saya lebih melihat diri saya sebagai orang yang berbangsa Melayu.” Menurut Suryati Kasmoh, ibu kepada Syafiq, keputusan mengenai pemilihan bahasa ini dibuat kerana suaminya yang berbangsa Cina tidak begitu baik penguasaan Mandarinnya, maka itu, tidak dapat membantu anak-anak mereka sekiranya mereka mengambil bahasa Mandarin sebagai bahasa ibunda di sekolah. Dia merasakan bahawa mempelajari bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda telah menyebabkan kelunturan identiti mereka yang berbangsa Cina kerana kebolehan menutur sesebuah bahasa penting untuk melambangkan identiti bangsa tersebut. Mujur, saudara Syafiq yang berbangsa Cina lebih banyak berbual dalam bahasa Inggeris. Dia juga mempunyai saudara berbangsa Cina daripada Malaysia dan dia menggunakan bahasa Melayu bersama mereka. Bagi mereka yang berbual dialek atau Mandarin, Syafiq, seperti juga Karmen, menggunakan pertolongan penterjemah. Syafiq bertutur dalam Bahasa Melayu sejak kecil lagi dan menggunakan bahasa ini bersama ibu dan adik-beradiknya, juga saudara-maranya yang berbangsa Melayu. Dengan ayahnya yang berbangsa Cina pula, dia menggunakan bahasa Inggeris.
Ditanya mengenai pendapat tentang pemilihan bahasa ibu-bapanya, Syafiq mengatakan bahawa dia tidak mempunyai sebarang penyesalan dengan keputusan yang dibuat oleh mereka. Dia merasakan bahawa dia patut menggunakan setiap peluang yang sedia ada. Dia gembira dengan keputusan yang dibuat oleh mereka dan yakin bahawa dia akan merasakan yang sama sekiranya ibu-bapanya memilih bahasa Mandarin. Semetara Syafiq bersikap amat optimistik dengan keputusan yang dibuat oleh ibu-bapanya, Rais pula mengatakan bahawa dia akan memilih bahasa Melayu sekiranya diberi pilihan. Katanya, “I do not think they have opted a bad choice for me because they had good intentions in mind, thinking that picking up Mandarin would be more beneficial in the near future considering the expanding Chinese market. But then again, my own father recently said that if he knew I was just horrible at languages, he would have picked Malay for me!”
Jikalau Rais merasakan bahawa dia akan memilih bahasa Melayu kerana ia mudah, Karmen pula akan memilih bahasa Mandarin kerana bahasa ini merupakan bahasa yang sukar dan harus dipelajari daripada awal. Sungguhpun begitu, Karmen tetap berusaha untuk mempelajari bahasa Melayu di sekolah melalui program-program elektif yang disediakan oleh sekolahnya.
Polisi dwibahasa
Di sini, kita dapat melihat kekurangan polisi dwibahasa yang menghadkan pembelajaran bahasa ketiga untuk pelajar yang datang daripada keluarga campur. Walaupun terdapat perubahan dasar-dasar polisi yang membolehkan pelajar-pelajar mengambil bahasa ketiga, ianya hanya ditawarkan kepada mereka yang berada di dua puluh peratus tertinggi kohort PSLE. Menurut Dr Aishah, “Saya fikir memang polisi menghadkan penggunaan bahasa Melayu dan mengecilkan ruang untuk menggunakan bahasa dan bahasa Melayu semakin lama semakin sempit pengunaannya.” Sebagai seorang pensyarah yang mengajar bahasa Melayu sebagai bahasa ketiga, dia berharap agar lebih ramai lagi akan mempelajari bahasa ini kerana ianya adalah bahasa kebangsaan di sini.
Menurut pengalamannya mengajar di NUS, ramai murid yang tidak tahu bahawa bahasa Melayu adalah bahasa yang dahulunya penting di kawasan ini. Dia berharap agar dapat timbul kesedaran bahawa Singapura berada di kawasan nusantara dan penggunaan bahasa Melayu penting di rantau ini. Sememangnya, dasar-dasar bahasa memainkan peranan yang penting dalam mempengaruhi penggunaan bahasa murid-murid di sekolah dan penggunaan bahasa seseorang pula akan mempengaruhi identitnya. Maka itu, bahasa merupakan cerminan identiti tetapi ia hanyalah salah satu daripada lambang identiti Melayu.
