The Malay Heritage Foundation

Ke Kanan, Lurus!

by Annas Mahmud

Ke Kanan, Lurus!

First published in Berita Harian on 01 May 2017

“Baris, sedia! Ke kanan, lurus!”

Itulah kata-kata pertama yang didengar Hang Gigi pertama kali dia melihat dunia. Terasa keliru seketika. Dilihat di kiri dan kanannya gigi-gigi lain yang lebih tinggi daripadanya. Terasa kerdil dirinya. Teringin sangat dia bertanya kepada gigi di kanannya tentang kehidupan seharian tetapi bahagian mulutnya masih terbenam dalam rumah gusinya. Terpaksalah dia sekadar memerhati.

“Kau lihat sahaja. Perhatikan bagaimana kami semua bekerja. Satu hari nanti, giliran kau pula,” kata sebatang gigi di sebelah kanannya pada satu hari setelah menyedari dengan kehadiran Hang Gigi.

Begitulah hari-hari mudanya, dihabiskan memerhati gigi-gigi lain seharian. Setiap pagi selepas dibersihkan Tuanku, akan berkhidmat kepadanya sebagai tanda berterima kasih. Barisan rata. Mendengar kata. Menjunjung titah. Kata mereka, Tuanku itu memang harus disanjung sebab mereka tidak mungkin hidup tanpa rumah gusi yang Tuanku sediakan. Segala keperluannya harus diturut. Usah dipersoal.

“Tapi kau jangan salah faham,” kata gigi kanan pada satu hari. “Tugas generasi aku akan selesai tak lama lagi. Generasi kau pula akan ambil alih,” sambungnya. Gigi kanan pernah memberitahu Hang Gigi bahawa generasinya, yakni Generasi Susu, akan dibuang tidak lama lagi sebaik sahaja masa mereka tamat. Kegunaan mereka sebagai rakyat sememangnya suntuk. Manakala generasi Hang Gigi yang akan ambil alih akan menjadi rakyat tetap.

Generasi Susu mula meninggal gusi satu persatu. Bermacam-macam cara pemergian mereka. Ada yang tersendat dalam epal keras. Ada pula yang tiba-tiba mengikut arus minuman. Gigi kanan merupakan Generasi Susu terakhir yang meninggal gusi. Nasibnya baik kerana pemergiannya tidaklah dalam kesakitan. Dia sekadar mula melonggar hari demi hari. Sempat juga Hang Gigi mengucapkan selamat tinggal kepadanya. Kelihatan dirinya aman ketika hari-hari terakhirnya. Entah mengapa, Tuanku meletaknya bawah bantal tidurnya pada malam itu. Pada waktu paginya, dia lenyap.

Ruang-ruang gusi yang mula kosong diambil alih generasi gigi baru. Di sebelah kiri Hang Gigi timbul si Taring. Di sebelah kanannya pula, si Rongang mula membesar. Hang Gigi terasa tidak sedap hati sejak Rongang timbul daripada ruang gusinya. Rongang terlalu berdegil. Tidak mendengar kata. Tidak mahu diri sebaris. Akhirnya dia berdiri lebih ke hadapan daripada gigi-gigi lain pada waktu dewasa. Sekurang-kurangnya, dia tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya terhadap Tuanku.

“Baris, sedia! Ke kanan, lurus!”

Demi Tuanku, Hang Gigi bekerja bertungkus-lumus setiap hari, bergotong-royong dengan gigi-gigi lain. Walau apapun pekerjaan yang diajukan kepada mereka dikunyah terus. Tak kira kerasnya, kental atau lembutnya, dikunyah terus. Kadang kala tergigit benda-benda berbentuk bunga tetapi pahit tidak terkata. Kadang kala pula mereka dipaksa menggigit batu yang sangat sejuk sehingga terasa ngilu. Itulah lumrah kehidupan seharian warga gigi. Tidak pernah menyoal atau membantah. Demi Tuanku mereka mengunyah.

“Ish! Geram betul aku tengok gigi aku yang rongang ni. Nak hensem pun susah!”

Satu hari Tuanku tiba-tiba mengeluh. Sudah belasan tahun Hang Gigi dan teman-teman berkhidmat kepada Tuanku. Terima kasihnya tiada, syukurnya juga tidak. Kini dihina pula si Rongang. Kecil hati si Rongang dibuatnya.

“Sudahlah Rongang,” Hang Gigi cuba memujuk temannya, “abaikan sahaja kata-kata Tuanku tu. Tuanku memang tak kacak pun, tapi tak nak hadapi kebenaran. Tu sebab Tuanku salahkan kau.”

Rongang sekadar tertawa kecil. Taring pula yang selalunya mentertawakan Rongang sekadar memberi kata-kata perangsang dengan perlahan. Setelah bertahun-tahun bekerjasama, ketiga-tiga mereka sudah semakin rapat. Tiga sahabat. Tak mampu Hang Gigi bayangkan kehidupan tanpa mereka. Tetapi, semuanya mula berubah.

“Doktor, tolong saya ratakan gigi-gigi saya boleh?” kedengaran suara Tuanku yang memulakan zaman zalim itu.

Doktor gigi telah membuat Tuanku terlelap.

“Tolong aku! Tolong!”

Taring menjerit sekuat hati. Dia digenggam suatu alat besi. Semua warga gigi cuba sedaya upaya untuk menguatkan genggaman gusi, menarik akar Taring. Bertahun-tahun mereka bekerjasama dengan Taring, kini hendak dibuangnya sebegitu sahaja. Tak mungkin mereka biarkan.

Namun, sekuat mana mereka cuba menahan akar Taring, genggaman besi yang menariknya terlalu kuat. Semakin lama semakin longgar akarnya. Semakin sakit seluruh gusi. Bak kata pepatah, sakit gusi kanan, gusi kiri terasa juga.

“Taring!!!!!!!”

Hang Gigi melepaskan teriaknya penuh kesedihan. Segala upaya warga gigi telah gagal. Taring telah tiada.

Tanpa diketahui mereka, perkara lebih teruk menanti. Setelah Taring kelihatan dibuang ke dalam bakul sampah, satu persatu warga gigi dicengkam sebentuk besi kecil yang kemudiannya diikat dengan seutas tali besi. Sungguh terkongkong rasanya. Sakit.

Ketika itulah semua warga gigi terasa sungguh tertindas. Tidak mampu mereka menduga kebesaran Tuanku. Maklumlah, rumah gusi mereka semuanya dalam kepimpinan Tuanku. Mereka masih terpaksa berkhidmat kepadanya. Mujurlah selama dua bulan pertama setelah besi dipasang, mereka dapat berehat daripada mengunyah apa-apa yang kental. Sekadar makanan yang lembut atau bubur yang ditelan tanpa kunyah. Namun, sekali setiap beberapa bulan, besi semakin diketatkan. Sakit.

“Baris, sedia! Ke kanan, lurus!”

Selepas dua tahun, Hang Gigi perhatikan si Rongang kini rata bersebelahan dengannya. Rumah gusi Taring pula telah diambil alih oleh jiran sebelahnya. Semua warga gigi masih taat setia dengan Tuanku. Kini, baris yang bekerja semuanya sama rata kerana dipaksa. Zaman kezaliman hanya mampu dilupakan. Hanya mampu mara ke hadapan.

Akhirnya, setelah sekitar dua tahun, benang besi yang menggenggam kebebasan mereka ditanggalkan. Sangka Hang Gigi semuanya akan semakin pulih. Dia silap.

Tuanku yang sudah lama menjaga pemakanannya selama adanya besi antara mereka, semakin rakus setelah besi ditanggalkan. Pelahap. Semuanya dimakannya. Semuanya dirasa enak. Makanan Melayu, makanan barat, kuih-muih, gula-gula dan yang paling digemarinya, aiskrim. Bila datang masa malasnya, Tuanku makan disuap ibunya.

Pesan doktor gigi pula semakin lama semakin tidak diendah. Warga gigi semua terbiar. Setelah penat lelah mengunyah tidak terhenti dari pagi hingga ke malam, dibiarkan mereka, tidak dicuci. Kadang kala Tuanku tidur dengan bekas makanan masih terselit antara gigi. Rimas dibuatnya. Rumah gusi Hang Gigi juga semakin lama terasa semakin kotor.

Gigi-gigi segusi semuanya semakin risau dengan keadaan perumahan yang semakin tidak terurus. Pengotor! Sebelumnya, kononnya dikatakan mereka tidak pandai menguruskan diri, berdiri tak rata. Kini, sudah dipaksa berdiri rata untuk Tuanku, dia pula yang merosakkan rumah gusi mereka.

“Hitam. HITAM!!!”

Satu malam setelah Tuanku terlelap, sekali lagi tanpa membersihkan gigi – berus tidak, berkumur pun tidak – Rongang tiba-tiba menjerit. Hang Gigi terkejut dan cemas. Apa yang hitam? Kelihatan si Rongang memandang ke arah rumah gusi Hang Gigi.

Tidak.

Fikiran Hang Gigi mula berkecamuk. Badannya kian kehitaman, rosak. Bukan sekadar lada hitam yang terselit. Badannya kehitaman berdekatan akarnya. Rosak. Mula terasa kesakitan sedikit dalam rumah gusinya.

Apa yang akan berlaku terhadapku sekarang? Hang Gigi risau.

Mulai saat itulah, Hang Gigi rasa dirinya semakin hari semakin dibenci Tuanku. Akarnya kadang-kadang terasa kesakitan yang teramat, mencengkam rumah gusinya. Yang peliknya, dia sebatang sahaja yang terasa kesakitan itu. Berbeza sakitnya berbanding dengan kesakitan ketika Taring dicabut paksa.

Tuanku menjadi seorang yang panas baran pada hari-hari bila akar Hang Gigi mula kesakitan. Bekas hitam yang pada mulanya hanya sedikit semakin membiak. Semakin hari Hang Gigi menjadi semakin risau. Bimbang kalau sekiranya dia akan dicabut kelak, dihalau daripada rumah gusinya. Sebab Tuanku memang gilakan luarannya, selalu hendak kacak, sudah tentu benci kepada keadaan kehitaman Hang Gigi.

“Tak guna punya gigi!”

Tuanku salahkan Hang Gigi pula, kononnya dialah penyebab kehitaman pada badannya sendiri. Kata Tuanku Hang Gigi beban. Dia lemah sebab tak dapat bertahan dengan keadaan manakala gigi-gigi yang lain masih tabah.

Cis! Rupanya memang Tuanku tidak tahu berterima kasih. Segala usahaku yang bertahun lamanya, semua kesakitan yang aku hadapi dalam genggaman besi, semua kehilanganku yang disebabkan kemahuan Tuanku, semuanya tidak diambil kira. Tapi kini, aku kesakitan sebab kerakusan Tuanku sendiri, aku juga disalahkan. Tidak adil!

Kemudian, satu hari, terlihat wajah yang dikenali warga gigi. Doktor gigi. Mujurlah, fikirnya. Mungkin doktor akan dapat membersihkan kehitaman. Atau mungkin, sekurang-kurangnya doktor dapat memberitahu Tuanku atas kesalahannya. Mungkin menasihati Tuanku untuk menjaga rakyat gigi dengan lebih rapi, teliti dan paling penting, adil.

“Plak,” kata doktor.

Semua warga gigi bersatu hati terasa sedih. Mereka semua tahu apa maksudnya untuk masa depan Hang Gigi.

“Buang sahaja gigi yang tak berguna tu. Tukarkan dengan gigi palsu,” sungguh senang kata-kata Tuanku, tidak berhati perut.

Apabila dia mula ditarik, Hang Gigi pasrah dan tidak cuba memegang erat kepada akar gusinya. Dia tahu, daripada zaman kezaliman kehilangan Taring, usahanya tidak akan berhasil. Kehidupannya sebagai penduduk gusi selama ini tidak lagi bermakna. Terdengar Rongang menjerit namanya.

Sebelum dipisahkan daripada warga gigi buat selama-lamanya, sempat dia menjerit kepada Rongang.

“Pegang erat pada gusimu, jangan difitnah Tuanku hingga nilaimu tergadai. Kelak engkau pula menjadi mangsa keadaan.”

Setelah dibuang ke dalam jamban dan mengikut arus air, Hang Gigi akhirnya bertempat di pantai kotor, dikerumuni sampah. Terhina.Maklumlah, aku sekadar sebatang gigi… sebatang gigi yang kini sebatang kara. Mungkin dia lebih bernilai di pantai ini. Mungkin dia akan bersatu dengan pasir dan menerokai kedalaman lautan. Atau mungkin dia akan dihiris ombak sehingga menjadi sehalus pasir dan dibawa terbang oleh angin, bebas menjelajahi dunia.

English (UK)
Scroll to Top