The Malay Heritage Foundation

Evolusi baju kurung

Baju Kurung Sepanjang Zaman

by Siti Hajar Binte Zainal

Mataku terpaku pada sebuah bingkai gambar yang tergantung di dinding rumahku.  Sekeping gambar hitam putih menarik perhatianku. Dua orang wanita berdiri di hadapan rumah kampung papan, satu berbaju kurung, satu berbaju kebaya. Cantik dan ayu, sedap mata memandang. Di bingkai yang bersebelahan aku lihat gambar ibu semasa zaman mudanya memakai baju kurung. Tetapi ada kelainan sedikit. Moden. Aku lihat pula gambarku berbaju kurung semasa Hari Raya. Aku tertanya sendiri, baju kurung kah ini?

Baju kurung sememangnya telah melalui pelbagai perubahan dari zaman nenek moyang kita ke zaman ibu bapa kita hingga ke zaman kita sekarang.

“Ini sebenarnya mengikut peredaran zaman. Manusia makin lama tidak menurun, tapi dia upgrade dan meningkat.”, ujar Puan Kamaria Buang, seorang tukang jahit mapan yang mengendalikan kelas menjahit termasuk baju kurung tradisional dan baju kurung moden.

Keadaan konteks persekitaran serta pendedahan terhadap pengaruh budaya global memainkan peranan dalam evolusi baju kurung daripada tradisional ke moden.

Perubahan dan adaptasi

Aku menghampiri sebuah rumah yang jelas tertera alamatnya di secebis kertas yang ada di peganganku lalu aku memberi salam. Sejurus selepas itu muncul seorang wanita pertengahan umur bersama seutas pita pengukur yang tergantung di leher. Puan Kamaria tersenyum gembira lalu menjemputku masuk ke rumahnya. Aku tercenggang melihat berbagai jenis baju kurung yang tergantung di rak-rak baju di ruang tamu tersebut. Khayalanku terputus apabila Puan Kamaria menjemputku ke sebuah meja besar yang menempatkan sebuah mesin menjahit. Aku teringat akan tujuanku ke sini. Aku ingin menempah sepasang baju kurung untuk raya nanti tapi jenis baju kurung yang bagaimana ya?

Baju kurung memang telah lama wujud di rantau ini sejak zaman pra-moden. Ia bukan sahaja boleh didapati di Singapura dan Malaysia tetapi terdapat juga baju kurung di daerah Indonesia. Sebelum kedatangan Islam ke rantau ini, nenek moyang kita hanya memakai sarung yang diikat menutupi dada hingga ke betis atau lebih dikenali dengan berkemban. Namun, kedatangan pedagang-pedagang yang beragama Islam ke sini membawa konsep kesopanan dalam pemakaian yang bercirikan garis panduan yang selaras dengan nilai yang dianjurkan oleh agama Islam. Dengan itu, terciptalah baju kurung, yang terdiri daripada baju labuh yang menutupi lengan dan badan yang  dipadankan dengan kain sarung. Pakaian sedondon ini yang menjadi pakaian seharian masyarakat Melayu justeru menjadi identiti wanita Melayu hingga ke hari ini, selain daripada kebaya.

Baju kurung asli atau tradisional sebetulnya mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri, yang membuatkannya satu pemakaian unik masyarakat Melayu pada abad ke-19 and 20.

Puan Kamaria menceritakan tentang baju kurung tradisional zaman nenek moyangku dahulu sambil mengambil ukuran badanku dengan pita pengukur lalu mencatatnya di dalam sebuah buku yang penuh dengan contengan bentuk badan. Puan Kamaria lalu meneruskan penceritaannya dengan penuh keghairahaan.

Melalui nama yang diberi, fungsi baju kurung sewajarnya adalah untuk mengurung tubuh si pemakai bagi menjaga kehormatan wanita dan melindungi mereka daripada anasir-anasir buruk.  Justeru itu, bentuk baju yang labuh dan longgar merupakan salah satu ciri baju kurung tradisional.

“Ukuran dia lebih besar daripada sekarang, dari segi bahunya, dia tak ikut ukuran bahu dia yang sebenar, dia akan lebih sedikit daripada bahu kanan dan kiri, mungkin dalam satu inci ataupun setengah inci, panjang baju pun lebih ke bawah. Tangannya juga dia tak potong serong, tangan biasanya besar-besar dan labuh”, jelas Puan Kamariah.

Walaupun baju kurung dipakai oleh kebanyakan wanita Melayu di seluruh rantau ini, setiap daerah mempunyai ciri-ciri khas mereka yang tersendiri. Di kawasan Malaya misalnya, terdapat beberapa jenis baju kurung seperti Baju Kurung Teluk Belangah, Baju Kurung Cekak Musang, Baju Kurung Kedah, Baju Kurung Pahang dan lain-lain lagi.

Baju kurung Teluk Belangah menjadi pakaian rasmi sejak abad ke-19 di bawah Kesultanan raja Johor. Ciri khas baju kurung ini terletak pada bahagian tepi baju di kedua-dua belah sisi yang berpesak dan berkekek serta bahagian leher yang berpotongan bulat dan dijahit kemas dengan gaya tulang belut. Baju kurung teluk belangah mempunyai kocek yang dijahit di depan, sebelah kiri atau kanan, sejengkal daripada ukuran belah depan bahagian butang.

Selari dengan peredaran zaman yang menuju ke arah kemodenan, baju kurung mengalami proses penyesuaian dan adaptasi yang kini dikenali sebagai Baju Kurung Moden.

Bila ditanya tentang perbezaan baju kurung tradisional dan moden, Puan Kamariah mengujarkan bahawa perkembangan fesyen dunia dan pendedahan pada pengaruh fesyen menyebabkan adanya perubahan pada baju kurung.

“Bezanya nampak ketara. Satu, kalau yang sekarang, bajunya berbentuk. Dia ada dat di depan dan belakang, dan ia lebih ketat sedikit, daipada baju kurung asli.  Baju kurung asli ia longgar dan kita pakai selesa kalau kita makan, kita tak bimbang sebab ia selesa. Lagipun ia besar, tak menampakkan tubuh badan kita dan ia lebih sopan.”

Ketika menyebut tentang perkembangan fesyen, Puan Kamaria mengeluarkan buku-buku serta majalah-majalah fesyen yang telah beliau kumpul sejak beliau mula-mula menjahit dahulu. Aku menyelak halaman majalah-majalah tersebut yang menunjukkan gambar-gambar artis Malayu dengan pelbagai jenis dan corak baju kurung. Mataku tertarik melihat bagaimana baju kurung pada zaman-zaman tertentu mempunyai ciri-ciri yang tersendiri, yang berlainan dengan zaman-zaman yang sebelumnya.

Pada zaman 1950an and 1960an misalnya, baju kurung dan kebaya yang digayakan dan dipopularkan oleh seniwati Saloma dan wanita-wanita dalam filem-filem Melayu menunjukkan perbezaan yang ketara dari segi bentuk dan juga corak. Baju kurung moden memperjelaskan bentuk badan si pemakai dan juga mempunyai ciri-ciri moden yang sering dikaitkan dengan gaya barat.

Pada zaman ini, baju kurung sudah tidak berkekek dan berpesak tapi berdat, sudah tidak longgar dan labuh tetapi berbentuk. Pelbagai jenis reka bentuk dan corak moden baju kurung boleh didapati. Ada yang mengasimilasikan kedua-dua unsur tradisional dan moden manakala ada yang membuat baju kurung menjadi sangat kebaratan, yang membuatkan kita tertanya-tanya bolehkah ia dipanggil Baju Kurung?

Baju kurung dalam kehidupan generasi muda

Baju kurung tradisional yang diadaptasi dan diubah menjadi baju kurung moden yang bercirikan kebaratan bukan bermakna bahawa masyarakat Melayu telah lupa kepada tradisi dan budaya Melayu tetapi ia mencerminkan anjakan dalam pemikiran untuk memperkayakan budaya Melayu dan membuatkan ia lebih relevan dan selaras dengan peredaran zaman.

“Ada orang fikir baju kurung baju orang kampong. Sebenarnya tidak eh. Kalau kita gunakan jenis-jenis kain yang baik, menarik warnanya, boleh digunakan di majlis-majlis makan malam, majlis perkahwinan, apa sahaja jenis majlis.”

Lantas, untuk memastikan baju kurung kekal relevan sepanjang zaman, ia patut diubah mengikut trend tetapi bukan bermakna harus mengetepikan atau membuang ciri-ciri tradisional sama sekali.

“Bagaimanakah kita boleh gabungkan atau mengimbangi tradisi dan kemodenan dalam pakaian tradisional kita?”

“Kita kena tengok keadaan. Dari segi fesyen, memang takda masalah. Kalau fesyen, kita boleh ubah dia, Cuma kita kena ada pendirian sama ada fesyen itu kita boleh pakai ke tidak. Keputusan itu kita yang buat. Kalau kita minat satu fesyen tu, kita boleh ubah suai dia mengikut kemahuan kita. Sebab kalau fesyen barat, yang ada bentuk fesyen dia cantik tapi tak sesuai sebab takda lengan. Kita boleh ubah suai, kita jangan takut pada fesyen yang kita nak pakai”, nasihat Puan Kamariah.

Bagi Cik Hafizah Ghazali, seorang lulusan Kolej Seni Lasalle dalam bidang fashion, baju kurung boleh diubahsuai menjadi moden tetapi tetap mengekalkan ciri tradisional melalui jenis fabrik dan kain yang digunakan. Menurut beliau, sekarang terdapat bermacam jenis fabrik moden yang boleh digunakan seperti modern lace. Selain itu, terdapat juga pelbagai aksesori yang boleh ditambah ke baju kurung untuk mengubahnya menjadi lebih moden dan menarik seperti sequins, beadings, frills dan sash tapi dari segi bentuk pula mengekalkan ciri tradisional dengan potongan baju yang longgar dan sopan. Begitulah bagaimana baju kurung boleh diadaptasi untuk kekal relevan dalam konteks moden hari ini.

Usahawan muda yang mempunyai koleksi baju raya rekaan beliau sendiri merasa keliru jika koleksi beliau yang lebih bersifat smart casualboleh dinamakan baju kurung. Menurut beliau, “dengan adanya ciri-ciri baju kurung dalam pakaian moden tidak semestinya menjadikan pakaian tersebut baju kurung”.

Beliau menambah, “I feel that baju kurung is like sacred. Not sacred but it is special, like it is very basic but special, I don’t know how to explain”.

Koleksi baju Raya yang direka oleh Cik Hafizah Ghazali mendapat sambutan hangat di kalangan generasi muda kerana mereka menganggap bahawa ia boleh dipakai bukan sahaja semasa hari perayaan tetapi juga di hari-hari biasa secara kasual. Ini mencerminkan bahawa generasi muda sekarang lebih menggemarkan baju kurung yang versatile, dan boleh diulang pakai untuk sebarang majlis, rasmi atau tidak.

Keistimewaan Baju Kurung

Walaupun baju kurung sekarang telah melalui pelbagai perubahan dan adaptasi mengikuti arus kemodenan, yang mungkin telah menyebabkan ciri-ciri tradisional terhakis sedikit demi sedikit, baju kurung secara keseluruhan masih dianggap penting untuk dikekalkan dan dilestarikan kerana ia merupakan suatu identiti bangsa Melayu.

Bagi Puan Kamariah, “mengekalkan pakaian-pakaian seperti ni menjadi suatu kebanggaan bangsa kita sendiri. Melayu hanya boleh kekalkan identiti melayu, bukan orang asing. Baju kurung penting untuk identiti melayu kita sebagai satu bangsa.”

Bagi sesetengah wanita, baju kurung bukan sahaja penting untuk mengekalkan identiti Melayu tetapi ia juga mengandungi pelbagai nilai yang mencerminkan keindahan bangsa kita yang bersifat sopan, rendah diri dan sederhana.

“Walaupun dipakai sekali-sekala, kita harus selalu merasa bangga dengan asal usul dan tradisi kita. Baju kurung bukan hanya setakat sehelai pakaian tetapi ia merangkumi pelbagai nilai masyarakat Melayu.”  

Tanpa aku sedari, jam di dinding menunjukkan bahawa dua jam sudah pun berlalu. Aku melihat lukisan desain baju kurungku yang diconteng oleh Puan Kamaria di dalam buku rekaannya, berdasarkan ciri-ciri yang aku pilih sepanjang perbualan kami. Perfect! Tidak terlalu tradisional dan tidak terlalu moden. Aku tidak sabar hendak melihat baju kurungku setelah siap nanti. Aku pulang ke rumah dengan hati yang gembira dan teruja.

MS
Scroll to Top